Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah  masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya  mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang  pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan  anaknya dibiarkan berjalan kaki." Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun  dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat  yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang  tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh  kurang adab anak itu."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas  belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai  pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah  sungguh menyiksakan himar itu." Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan  anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang  berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak  dikenderai." Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim  telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka,  katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan  manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan  melainkan kepada Allah s.w.t. sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku,  tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir.  Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga  perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya  (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya  (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah  orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
~ pesanan untuk diri ini ~ 
_alif atif_








Himar itu sama dengan keldai.