• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
Posted by The Story From Myself - - 0 Reaction


Alhamdulillah kita masih dikurniakan dua nikmat yang amat besar, nikmat Islam dan Iman. Alhamdulillah usai sudah ibadah solat sunat tarawih malam pertama ramadan. Moga Allah s.w.t menerima amal ibadah kita sebagai ibadah yang mendapat ganjaran pahala di sisiNya. Moga esok ibadah puasa kita juga adalah puasa yang sebenarnya bukan sekadar mendapat 'lapar dan dahaga' sahaja. Dan di akhir Ramadan nanti kita mencapai takwa sebagaimana yang dijanjikan Allah melalui firmanNya:


"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa 
sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah 2:183)

Dalam satu hadis nabi pula tentang seruan berpuasa diriwayatkan oleh Abu 
Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Berpuasalah kalian jika telah melihat hilal (anak bulan) dan sudahilah 
puasa kalian jika telah melihat hilal lagi. Jika tidak nampak akannya,
 maka genapkanlah hitungan Syaaban menjadi 30 hari." 
(Riwayat al-Bukhari)

Bagaimanakah dengan berpuasa itu kita boleh mencapai takwa seperti yang 
Allah janjikan? Kita perlu lihat perkara asas tentang puasa itu sendiri dari pelbagai 
sudut, dari segi pengertiannya, syarat wajibnya, rukunnya, perkara yang 
membatalkan, perkara yang makruh, ibadah-ibadah sepanjang ramadan 
dan pelbagai lagi pengertian puasa yang sebenarnya. Untuk itu, perlulah 
kita mempunyai pengetahuan asas tentang puasa dan ramadan. 

Rasulullah s.a.w bersabda  yang bermaksud: Apabila datangnya Ramadan,
 dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan
 dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.”
Rujuklah kembali perkara berkaitan dengan puasa seperti adab, rukun, syarat sah serta perkara yang membatalkan puasa. Pastikan juga kesihatan kita berada di tahap paling baik sebelum memulakan ibadah puasa.
Jika kesihatan mengizinkan, sudah pasti ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna. Makanlah makanan yang berkhasiat selain menjaga waktu tidur sebaiknya.
Ramadan juga mengajar kita bersikap murah hati iaitu memberi sumbangan dan sedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Ibnu Abbas melaporkan Rasulullah seorang pemurah. Dan Baginda menjadi lebih pemurah ketika Ramadan. (Direkodkan Bukhari)
Terbukti Ramadan adalah madrasah kepada kita untuk melatih, mendidik serta membangunkan diri menjadi insan berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Amalan berpuasa memang terbukti mampu menundukkan nafsu. Diharap proses ‘pengajian’ kita sepanjang Ramadan dapat berjalan sempurna.
Kesempatan berada di dalam bulan penuh berkat itu nanti, ruang masjid kembali bergema dan umat Islam mula berpusu-pusu ke masjid di kawasan masing-masing untuk bersembahyang Tarawih secara berjemaah.
Panduan terbaik untuk kekal ‘cergas’ supaya dapat melaksanakan ibadah sunat seperti solat Tarawih, bertadarus dan amalan sunat di malam harinya adalah tidak makan terlalu banyak ketika berbuka puasa.
Gunakan sepenuhnya peluang dan tawaran setahun sekali ini untuk melakukan lebih banyak perubahan diri supaya semangat dan roh Ramadan itu kekal dalam jiwa umat Islam.
Rasulullah menegaskan bahawa: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan.”
Allah berfirman yang bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara benar dan salah.” (Surah Al-Baqarah ayat 185)
Persiapan perlu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Mukmin muttaqin pasti berusaha mencapai matlamat yang dijanjikan Allah dalam Ramadan.
Ketaatan melaksanakannya adalah ta’abbud kepada Allah. Jika ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan penghayatan maka kesannya lahirlah individu Muslim yang mempunyai jati diri kental.
Jangan kita tergolong dalam orang yang berpuasa sekadar menjalankan ia sebagai rutin tahunan semata-mata dan tidak memahami fadilat di sebaliknya.
Golongan seperti itu walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat ‘pengalaman’ lapar dan dahaga saja.
Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, medan terbaik menanti persiapan Ramadan perlu bermula seawal Rejab lagi kemudian teruskan di dalam Syaaban supaya dapat melangkah ke Ramadan dalam keadaan bersedia.
“Sejak Rejab kita digalakkan berdoa seperti ‘Ya Allah, berkatilah kami pada ketika Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan penuh mulia iaitu Ramadan.’
“Kita ibarat seperti melaksanakan misi pendakian. Di sini, kita memulakan pendakian sejak Rejab dan terus mendaki pada ketika Syaaban dan akhirnya sampai ke kemuncaknya iaitu Ramadan,” katanya.
Beliau berkata Ramadan adalah penghulu bagi segala bulan dan umat Islam perlu melakukan persediaan rapi untuk menghadapinya.
“Orang Islam yang benar-benar faham madrasah Ramadan ini, pastinya mereka tidak melepaskan ia pergi begitu saja. Setiap kali berpeluang menyambut Ramadan mereka pasti menjadi orang paling gembira bagi menyucikan rohani dan jasmani.
“Sebaliknya, bagi golongan munafik mereka merasa sempit dan sudah hati kerana aktiviti mereka terbatas, terpaksa berlapar dahaga dan merasa diri mereka terkongkong,” katanya.
Mohd Rani berkata Ramadan mengingatkan umat Islam erti kesederhanaan dalam meningkatkan ketakwaan terhadap Penciptanya.
“Ramadan adalah bulan kesabaran. Allah menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang bersabar.
“Umat Islam perlu sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam setiap perkara termasuk tidak membazir ketika makan dan tidak berbelanja secara berlebihan,” katanya.
Beliau berkata Ramadan juga medan melatih umat Islam supaya memahami masyarakat yang berada di sekeliling mereka.
“Berlapar boleh menginsafkan diri apabila melihat masih ada golongan yang lebih susah dan serba daif kehidupannya.
“Justeru, gunakan kesempatan Ramadan ini untuk membantu orang lain yang hampir dengan kita termasuk jiran tetangga, keluarga dan saudara memerlukan mengikut kemampuan diri kita,” katanya.
Mohd Rani berkata umat Islam perlu mengawasi tindak-tanduk serta adab mereka ketika menjalani ibadah puasa termasuk menjaga lidah, telinga, mata dan anggota lain.
“Berpuasa adalah benteng seorang mukmin daripada terjerumus melakukan perkara maksiat dan sia-sia yang membawa kepada dosa.
“Daripada Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Puasa adalah perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.’’
“Justeru, masjid atau surau perlu sentiasa memberi peringatan kepada umat Islam supaya mereka dapat keluar daripada belenggu kejahilan dalam usaha melaksanakan ibadah ini dengan sempurna.
“Umat Islam juga disaran merebut malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan di mana kelebihan malam itu adalah lebih baik daripada 1000 bulan,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...